Sunday, October 26, 2025

JAWAB SOALAN TRIAL -BANTU STUDY LAST MINIT

 Assalamualaikum warahmatullah


    JIka melihat kepada tarikh peperiksaan SPM, kita cuma ada seminggu sahaja sebelum ujian bertutur Bahasa Melayu minggu hadapan iaitu bermula 3 November 2025. Ketika ini bagi pelajar yang sudah bersedia pastinya tiada masalah namun bagi yang masih belum yakin untuk masuk peperiksaan jangan gelabah. Anda masih ada cara untuk anda bersedia, tetapi dengan satu syarat iaitu BERTENANG.

    Jika anda hendak mengulangkaji dengan membaca semua tajuk tingkatan 4 dan 5 dalam masa seminggu, pastinya tidak mencukupi. Anda hanya boleh membaca sahaja tetapi keberkesanannya tidak dapat dipastikan. jadi langkah yang terbaik adalah buat latihan soalan percubaan negeri-negeri. Anda boleh semak di link ini https://t.me/soalanpercubaanspm

KEBAIKAN MENJAWAB SOALAN PERCUBAAN NEGERI-NEGERI:

1. Boleh fokus kepada tajuk-tajuk target

Bukanlah bermakna tajuk-tajuk itu mesti keluar, tetapi setiap jurulatih negeri-negeri akan membuat analisa soalan-soalan sebenar SPM tahun-tahun lepas. Jadi tajuk yang dikeluarkan dalam soalan percubaan adalah berdasarkan analisa tahun semasa.

2. Boleh tahu bentuk atau cara soalan ditanya

Ini adalah masalah utama calon SPM. Kita boleh baca isi kandungan pelajaran tetapi kita tidak mahir untuk memahami kehendak soalan. Inilah kepentingan kita melihat soalan-soalan percubaan supaya kita biasa dengan laras bahasa soalan peperiksaan.

3. Boleh fokus sub-topik penting setiap bab

Dalam satu bab, bukan semua subtopik akan ditanya. Hanya beberapa topik sahaja yang ditekankan. Jadi kita boleh nampak sub-topik penting dan kurang penting.

4. Boleh fokus laras bahasa soalan KBAT

Soalan KBAT nampaknya semakin mencabar. Banyakkan menjawab soalan supaya anda biasa dan tidak mudah terpesong daripada kehendak soalan.

Setelah menjawab latihan, semak soalan yang anda tidak pasti bersama guru atau rakan-rakan yang boleh membantu.

Kita usahakan mana yang kita boleh ya. Yang penting ada usaha tanpa kita menyerah kalah begitu sahaja. 

Jumpa anda di puncak kejayaan!

Cikgu hanom Taib

Monday, October 20, 2025

PERSIAPAN AKHIR PENDIDIKAN ISLAM SPM 2025

 Assalamualaikum warahmatullah


    Pejam celik pejam celik SPM sudah semakin hampir. Hanya tinggal beberapa detik untuk semua calon SPM 2025 bersedia. Bagi yang sudah memulakan ulangkaji lebih awal, tahniah diucapkan. Namun bagi mereka yang masih belum bermula atau baru separuh jalan, masih ada masa untuk anda. Namun ini bukanlah bermakna anda boleh mengambil mudah atau goyang kaki kerana soalan dan tajuk yang akan ditanya di luar pengetahuan kita. Jik amelihat kepada soalan-soalan percubaan negeri-negeri, gaya soalan terutamanya soalan KBAT amat mencabar. Calon perlu benar-benar memahami topik dan isu untuk menjawab soalan dengan tepat. Apa yang lebih merisaukan juga penandaan juga dibimbangi semakin ketat. 

    Persediaan semua calon wajib sehabis baik kerana hanya ada satu set soalan sahaja untuk seluruh calon SPM seluruh negara. Ini bermakna tiada beza kertas soalan untuk pelajar di sekolah berasrama penuh dan sekolah harian sama ada si bandar atau di luar bandar. Soalan selaras dan standard. Namun tetap menggunapakai nisbah 5:3:2 iaitu 50 peratus soalan aras rendah, 30 peratus soalan aras sederhana dan 20 peratus soalan aras tinggi. Ini bermakna semua calon sepatutnya lulus jika bersedia selengkapnya sebelum masuk dewan peperiksaan.

Antara perkara yang perlu dilakukan oleh calon SPM menjelang saat akhir peperiksaan ialah :

1. BANYAKKAN LATIH TUBI SOALAN FORMAT SPM (SOALAN PERCUBAAN NEGERI)

Calon boleh buat sebanyak mungkin set percubaan negeri-negeri supaya biasa dengan bentuk soalan setiap bab. Teknik ini boleh juga dilaksanakan jika belum sempat baca semua bab. Melihat kepada masa yang semakin suntuk, membaca di saat akhir akan hanya meningkatkan rasa berdebar dan bimbang jika apa yang dibaca tidak ingat kerana anda tergesa-gesa untuk menghabiskan. 

2. BUAT NOTA PALING RINGKAS   (KATA KUNCI SAHAJA)

Selesai menjawab soalan percubaan negeri-negeri terus catat fakta yang disoal dalam kertas peperiksaan tersebut. Tidak perlu ayat panjang, cukup sekadar kata kunci dan akan anda huraikan ketika menjawab kertas peperiksaan kelak. Tidak perlu juga buku catatan yang mahal, lipat sahaja kertas A4 dan catatkan. Mudah bukan.

3. BEZAKAN FAKTA YANG PERLU DIINGAT DAN BUKAN FAKTA

Jika anda perhatikan soalan percubaan negeri-negeri, anda akan dapat perhatikan tidak semua soalan perlukan fakta. Ada beberapa soalan yang boleh dijawab dengan pemikiran anda sendiri. Seperti soalan dengan kata kunci apakah FAKTOR, KESAN, CARA, LANGKAH, KEBAIKAN, HIKMAH, MESEJ. Perkara ini amat penting supaya anda tidak tertekan apabila banyak lagi yang perlu dibaca. Jadi fokus kepada fakta dan boleh baca sekali imbas untuk isi yang bukan fakta.

4. PERHATIKAN POLA SOALAN KBAT

Semasa menjawab soalan-soalan percubaan negeri, perhatikan pola soalan. Pola ialah bentuk atau cara kehendak soalan itu dipersembahkan. Jika diperhatikan, soalan KBAT sudah semakin tinggi laras bahasanya serta mempunyai maksud tersirat. Anda perlu biasakan dengan bentuk-bentuk soalan ini supaya tidak terkeliru. Apa yang lebih penting supaya anda tidak tinggalkan soalan KBAT kosong begitu sahaja. Pastikan juga jawapan KBAT anda disemak oleh guru ya. Jika guru tidak sempat boleh pm guru untuk semakkan soalan KBAT sahaja.

5. JANGAN TINGGAL SOLAT DAN BUAT BAIK DENGAN IBU BAPA

Perkara kelima ini tidak boleh dipandang enteng ya. Apa yang kita usahakan selama ini akan diberi kejayaan oleh Allah SWT jika kita menjadi hamba-Nya yang taat. Begitu juga terhadap kedua insan yang sangat penting dalam hidup kita. Jika mereka sedih Allah juga tidak akan gembira dengan kita. Buatlah sehabis baik. Untuk dapatkan yang  terbaik kita perlu juga jadi yang terbaik.

Selamat meneruskan detik-detik terakhir sebelum tiba hari penentuan di dalam dewan peperiksaan kelak. Semoga anda semua dikurniakan kejayaan seiring dengan usaha yang tidak pernah padam. 

Jumpa anda di puncak kejayaan!

Cikgu Hanom Taib